Wednesday 10 September 2014

PERISTIWA 13 MEI 1996 (SYARIFAH NUR BARIAH BINTI SYED ABDUL AZIZ - 19DRG14F1044)

PENGENALAN

                Tanggal 13 Mei 1969 tercetus satu detik hitam dalam lipatan sejarah negara. Pertelingkahan kaum yang berlaku telah mengakibatkan negara kehilangan banyak nyawa dan kerugian harta benda. Ia mempunyai kaitan rapat dengan Pilihanraya Umum 1969 dan merupakan puncak manifestasi masalah perpaduan kaum di Malaysia. Dalam pilihanraya tahun tersebut banyak isu sensitif telah dibangkitkan dan ditimbulkan seperti bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan hak kerakyatan orang bukan Melayu. Dalam pilihanraya tahun 1969 Parti Perikatan gagal memperolehi majorirti dua per tiga dalam Dewan Rakyat manakala Parti Gerakan Dan DAP yang berjaya memperolehi sebanyak 25 kerusi telah mengadakan perarakan di Kuala Lumpur sambil menghina bangsa Melayu. Hal ini memberikan tamparan hebat kepada orang Melayu dan akhirnya UMNO telah mengadakan perarakan balas sebagai bantahan terhadap penghinaan parti DAP dan Gerakan. Dalam suasana tegang dan penuh emosi maka tercetuslah peristiwa 13 Mei 1969.  Peristiwa tersebut telah mengorbankan ramai orang dan telah mengakibatkan kerugian harta benda yang banyak. Ia juga telah menyebabkan negara kita telah menjadi tumpuan dunia. Sebenarnya Masalah 13 Mei ini merupakan masalah perpaduan yang telah lama berakar umbi dalam masyarakat majmuk Malaysia sebelum tahun 1969 lagi. Masalah ini telah disebabkan oleh British yang telah memainkan peranan yang cukup besar untuk mewujudkan keadaan sedemikian rupa.

Dari sudut ekonomi peristiwa 13 Mei, banyak meninggalkan kesan yang negetif terrhadap masyarakat Melayu khasnya dan golongan bumiputera amnya. Pengenalan ekonomi mengikut ras umpamanya adalah bukti yang jelas kepada persoalan ini.Keadaan ini merupakan suatu kesan yang nyata selepas penjajahan British.Dasar ekonomi baru yang dirancangkan oleh kerajaan pada 1971 merupakan satu usaha bertujuan untuk mengimbangi kembali kedudukan ekonomi dan hubungan antara kaum di Malaysia.

Punca-Punca Yang Membawa Kepada Peristiwa 13 Mei 1969

1.   Layanan Berat Sebelah Oleh Tentera Jepun

 Pada zaman pendudukan Jepun, masyarakat Tanah Melayu telah dilayan secara berbeza-beza. Masyarakat Cina umpamanya telah dilayan dengan begitu teruk oleh tentera Jepun berbanding dengan orang-orang Melayu. Keadaan ini berikutan Jepun yang pernah berperang dengan China sebelum ini menyebabkan perasaan saling mendendami antara satu sama lain masih segar dalam ingatan. Layanan berat sebelah ini telah menyemai perasaan permusuhan antara orang-orang Melayu dan Cina.

2.    Dasar Pecah & Perintah Penjajah Inggeris

Dasar penjajah Inggeris yang mengamalkan konsep pecah dan perintah merupakan satu tindakan yang berkesan dan telah menjadi punca wujudnya jurang antara kaum sama ada dari sudut ekonomi dan juga polarisasi kaum. Umpamanya orang-orang Cina tinggal di bandar-bandar menjalankan perniagaan dan juga di kawasan-kawasan lombong sebagai pelombong dan merekalah sebenarnya memiliki aset yang tinggi dalam ekonomi masyarakat Malaysia. Sementara orang-orang Melayu tinggal di luar bandar sebagai petani atau nelayan kecil. Kaum India kebanyakannya pula sebagai buruh kasar kerajaan dan pekerja di ladang.1 Pada hakikatnya kegiatan ekonomi orang-orang Melayu dan India adalah bercorak sara diri . Keadaaan ini menyebabkan kedudukan ekonomi masyarakat bumiputera khususnya Melayu menjadi lemah dan ketinggalan. Corak penglibatan ekonomi antara kaum dalam kegiatan ekonomi yang berbeza telah menjadikan kedudukan sosio-ekonomi mereka tidak seimbang

3.   Latar belakang pendidikan yang berbeza

Latar belakang pendidikan yang berbeza juga telah dikaitkan sebagai punca yang membawa kepada meletusnya peristiwa 13 Mei. Hal ini berlaku apabila sistem pendidikan yang wujud di Tanah Melyu sebelum merdeka terbahagi kepada empat aliran mengikut kaum iaitu sekolah Melayu, Cina, India dan Inggeris. Kempat-empat aliran ini mempunyai kurikulum yang tersendiri. Sekolah Melayu menekankan kemahiran menulis, membaca dan mengira sekadar keperluan peringkat rendah sahaja. Manakala kurikulum sekolah Cina dan India pula masing-masing berkiblatkan negeri asal mereka, malah buku-buku teks dan guru-guru yang mengajar juga telah dibawa dari Negeri China dan India .4 Keadaan ini telah mengukuhkan lagi keadaan keperibadian etnik yang telah sedia wujud. Sekolah Inggeris pula hanya dapat dinikmati oleh orang-orang Cina dan India yang tinggal di bandar-bandar sahaja.

4.    Pertelingkahan Parti Politik

Dalam pilihan raya 1964 Parti Tindakan Rakyat (Petir) atau PAP Singapura telah turut serta dalam pilihan raya . Walaupun sudah ada persetujuan antara Tunku dan Lee Kuan Yew sebagai pemimpin PAP yang tidak akan menyertai pilihan raya itu tidak akan menyertai pilihan raya itu .Namun apabila pilihan raya itu berlangsung PAP telah meletak calonnya seramai sembilan orang .

Bagaimanapun setelah Tunku membuat perisytiharan bahawa beliau tetap mengekalkan keanggotaan MCA dalam perikatan, 5 maka PAP yang gagal untuk menyertai Perikatan telah menukar corak kempennya dengan menyerang UMNO dan orang-orang Melayu . Mereka mula membangkitkan kedudukan istimewa orang Melayu, soal bahasa, malahan taraf bumiputera orang-orang Melayu turut dipersoalkan tanpa menghiraukan rasa tersinggung orang-orang Melayu. Sedangkan segala-galanya telah dipersetujuinya sebelum ini . Setelah gagal dalam pilihan raya, PAP telah menubuhkan Konvensyen Perpadauan Malaysia (KPM) dengan disertai oleh Parti Progresif Rakyat dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak. KPM juga telah menyebarkan cogan kata "Malaysia hak orang Malaysia " (Malaysian Malaysia) dengan tujuan supaya hak istimewa orang Melayu atau bumiputera dihapuskan .

5.   Perasaan tidak puas hati terhadap hak istimewa orang melayu

PAP telah secara lantang menyuarakan rasa tidak puashati terhadap apa yang disebut sebagai hak istimewa orang Melayu dalam perlembagaan . Mereka mendakwa hak kaum-kaum lain telah diketepikan kononnya mereka telah tersisih daripada keadilan . Oleh sebab itu menurut Jomo dalam bukunya "Pembangunan Ekonomi dan Kelas Sosial di Semenanjung Malaysia " , isu sebenar yang mencetuskan peristiwa 13 Mei adalah perasaan tidak puas hati terhadap hak istimewa orang Melayu.
Namun hakikat sebenarnya kedudukan taraf ekonomi orang Melayu adalah terkebawah berbanding dengan kaum Cina .


 6.   Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara

Isu bahasa juga tidak kurang pentingnya dalam menyumbangkan faktor kepada peristiwa 13 Mei . Berikutan perisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu 1957, sebuah perlembagaan Persekutuan telah dibentuk yang antara lainnya menyatakan dengan jelas tentang kedudukan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah sebagai bahasa rasmi negara.10 Selepas sepuluh tahun merdeka kerajaan akan mengkaji semula tentang kedudukan bahasa Inggeris dengan tujuan untuk mengugurkannya daripada status bahasa rasmi dan hanya bahasa Melayu sahaja yang diiktiraf sebagai bahasa rasmi. Untuk mencapai tujuan itu, pada 31 Ogos 1967 kerajaan telah mengadakan pelbagai kegiatan bagi tujuan memperluaskan penggunaan bahasa Melayu . Antara kempen yang dijalankan ialah Hari Bahasa Kebangsaan , Minggu bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan . Pelaksanaan penggunaan Bahasa Kebangsaan telah dipelopori oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan dipimpim oleh Syed Nasir bin Ismail.

Angka korban :

Polis dan tentera sedang mengawal Panggung Odeon yang menjadi sasaran rusuhan.
Angka rasmi menunjukkan 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan. 211 kenderaan musnah. Tapi ramai telah menganggar ramai lagi dibunuh. Sebuah thesis PhD. daripada Universiti California, Berkeley menganggar seramai 20,000 orang hilang nyawa dalam peristiwa 13 Mei.
Statistik tidak rasmi jumlah kematian:

•             Melayu  : 86 orang
•             Cina  : 342 orang
•             Lain-lain  : 3 orang



 Usaha Segera Untuk Membentuk Perpaduan Selepas Peristiwa 13 Mei 1969

Mengisytiharkan Darurat :

Ketika peristiwa 13 Mei 1969 berlaku  keadaan amat tidak terkawal dan pertempuran antara kaum berlaku akibat suasana tegang. Untuk meredakan ketegangan keadaan ini kerajaan telah mengisytiharkan darurat pada 16 Mei 1969 di seluruh negara. Tujuan diisytiharkan darurat ialah pertama untuk menenangkan keadaan yang tidak terkawal. Kedua ialah untuk memberi masa kepada pihak yang terlibat bertenang dan berfikir secara rasional tindakan mereka. Ketiga untuk cuba menghentikan kekacauan yang berlaku dalam masa yang singkat.

Membentuk Majlis Gerakan Negara (MAGERAN ) 17 MEI 1969:

Setelah mengisytiharkan darurat di seluruh negara pada 16 Mei 1969 kerajaan telah menubuhkan Majlis Gerakan Rakyat (MAGERAN) yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu iaitu Tun Abdul Razak. Turut menganggotai MAGERAN ialah pemimpin-pemimpin parti politik, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan pegawai-pegawai tinggi polis dan tentera. Antaranya ialah Tun Dr. Ismail, Tan Siew Sin, Tun G.T Sambatan, Dato’ Hamzah Bin Abu Samah, Tan Sri Muhammad Ghazali Shafie, Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin, Tan Sri Mohd Salleh Ismail dan Jeneral Tunku Osman Tunku Mohd Jiwa.
Fungsi utama MAGERAN ini ialah:
1. Mengembalikan keamanan dan undang-undang negara.
2. Menentukan pentadbiran yang licin dan sempurna.
3. Mengembalikan suasana keharmornian dan kepercayaan antara kaum  di Malaysia.
Dengan wujudnya MAGERAN maka sistem kerajaan berparlimen telah digantung dan semua kuasa pentadbiran telah dipusatkan kepada MAGERAN. Fungsi kerajaan berparlimen mula dipulihkan semula pada 23 Februari 1971.

Pembentukan Majlis Muhibah :

 Majlis Muhibah ini telah ditubuhkan atas arahan daripada MAGERAN. Majlis ini telah diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Ia diadakan di setiap peringkat iaitu peringkat pusat, daerah negeri dan kawasan. Ini bertujuan untuk memastikan matlamat penubuhan majlis ini berjaya di segenap lapisan masyarakat Malaysia.  Majlis ini berperanan untuk menggalakkan perkembangan muhibah di kalangan pelbagai kaum dan berusaha ke arah memulihkan kembali kepercayaan dan keyakinan di kalangan pelbagai kaum di Malaysia yang telah musnah akibat peristiwa hitam 13 Mei 1969.


Menubuhkan Majlis Perundingan Negara (MAPEN) pada 29 JAN 1970 :

 Majlis perundingan  Negara telah ditubuhkan pada bulan Januari  1970 untuk membentuk perpaduan antara kaum di Malaysia. Majlis Perundingan Negara telah dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak. Ahli-ahli majlis ini terdiri daripada wakil-wakil:

a) Menteri-menteri yang menganggotai MAGERAN.
b) Kerajaan-kerajaan Negeri.
c) Parti-parti Politik.
d) Sabah dan Sarawak.
e) Kumpulan-kumpulan Agama.
f) Badan-badan Profesional.
g) Perkhidmatan Awam.
h) Kesatuan Sekerja Dan Persatuan Majikan.
i) Wartawan.
j) Persatuan Guru-guru.
k) Kumpulan Minoriti.


KESIMPULAN


Peristiwa pahit 13 Mei 1969 bukan sahaja dicatat sebagai sejarah pertelingkahan kaum yang menggariskan sempadan - sempadan yang harus diteliti dan dipelihara oleh semua pihak, malah ia turut memaparkan rahsia-rahsia pembinaan negarabangsa yang mencakupi bidang-bidang politik, sosial dan ekonomi serta betapa pentingnya integrasi nasional. Andaikata petanda-petanda yang diperolehi itu gagal dimenafaatkan sudah tentu cita-cita untuk membina Malaysia sebagai sebuah negara maju dan makmur akan menjadi bayangan sahaja.

No comments:

Post a Comment